Friday, September 14, 2007

TEORI SEJARAH

PENGENALAN

Sebelum saya menjawab soalan tugasan ini dengan lebih mendalam lagi, terlebih dahulu saya akan menerangkan tentang apakah dimaksudkan sebagai sumber dalam sejarah?. Seperti yang kita sedia maklum, sumber merupakan sesuatu yang boleh kita jadikan sebagai punca kepada lahirnya sesuatu pemikiran atau penulisan dalam sejarah.[1] Dalam bidang penulisan sejarah sumber merupakan satu perkara yang sangat penting kerana melalui sumberlah kita mendapat maklumat atau fakta yang diperlukan bagi menyokong kebenaran sejarah yang dihasilkan atau ditulis. Bercakap tentang sumber, kita memang tidak boleh lari daripada menyatakan bahawa sumber ialah perkara asas dalam penulisan sejarah. Kita boleh merujuk situasi ini dalam sesebuah perusahaan, contohnya dalam bidang perindustrian, perkilangan, pembuatan dan lain semuanya memerlukan sumber barulah perusahaan itu boleh dijalankan. Melalui buku yang saya baca juga menjelaskan bahawa sumber dikatakan sebagai sekumpulan bahan yang tersimpan di arkib, perpustakaan, muzium, istana dan sebagainya. Bahan-bahan ini boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan.[2] Walau bagaimanapun ingin saya tekankan di sini bahawa setiap sumber atau fakta yang digunakan atau diperolehi mestu diuji terlebih dahulu bagi membuktikan kesahihannya sebelum sumber itu disahkan sebagai benar kerana terdapat sumber yang palsu. Harus diingat bahawa sumber sejarah wujud dalam berbagai bentuk sama ada ada sumber yang ditulis pada kertas, dipahat seperti yang terdapat pada batu bersurat atau prasasti, diukir pada kayu, buluh, tulang, tanduk, daun, kepingan logam dan sebagainya.[3]

Seterusnya, sumber terbahagi kepada dua bahagian iaitu sumber pertama atau dikenali sebagai sumber primer dan sumber kedua atau sumber sekunder.[4] Merujuk kepada sumber primer ianya merupakan sumber tulen atau asli yang belum mengalami proses penafsiran dan pengolahan, maksudnya ianya adalah sumber yang asal. Untuk itu saya nyatakan antara beberapa contohnya ialah dokumen, surat, catatan atau laporan harian dan diari. Merujuk kepada sumber seterusnya pula iaitu sumber sekunder, apa yang dikatakan sebagai sumber sekunder adalah seperti tulisan atau buku yang ditulis oleh sejarawan tentang seseorang tokoh atau sesuatu peristiwa berlandaskan sumber primer misalnya surat khabar, buku atau tesis iaitu bahan yang telah diolah. Jika ianya dikatakan sebagai sumber semestinya di dalam sumber itu akan wujudnya fakta iaitu pernyataan tentang kejadian yang berlaku sama ada dalam akhbar atau sumber-sumber lain yang menjadi perkara pokok sejarah dan ia bersifat tetap. Fakta dan sumber adalah saling berkait rapat kerana daripada sumber lahirnya fakta.[5]

SEBAB-SEBAB SUMBER SEJARAH PERLU DIUJI UNTUK KESAHIHANNYA

Sebelum saya masuk kepada langkah-langkah yang diambil oleh ahli sejarah dalam memastikan kesahihan sumber yang digunakan dalam kajian mereka saya terlebih dahulu hendak menerangkan tentang sebab-sebab sumber sejarah perlu diuji kesahihanya. Antara beberapa sebabnya mengapa sumber sejarah perlu diuji adalah untuk memastiakn kesahihannya seterusnya memastikan kebenaran fakta yang digunakan dalam penulisan sejarah. Kenapa? Sebabnya adalah bagi menghasilkan penulisan yang mempunyai fakta yang benar-benar sahih dan diterima umum. Situasai ini berlaku agar tidak wujud fakta yang ditokok tambah seperti mencampur adukkan fakta sejarah dengan cerita fiksyen atau rekaan mahupun dongeng untuk mengagung-agungkan seseorang tokoh. Keadaan ini perlu dielakan jika penulisan itu mengikut langkah yang betul. Oleh itu, menurut Ranke penulisan sejarah sebenarnya adalah menceritakan semula peristiwa sejarah seperti yang sebenarnya berlaku, namun begitu fakta sejarah tidak pernah muncul dalam situasi yang murni kerana sentiasa dihiasi berdasarkan pemikiran si pencatat itu.[6] Oleh yang demikianlah menyebabkan penceritaan semula peristiwa sejarah memerlukan pengolahan, penjelasan, pengisahan dan penyusunan semula. Sekiranya aspek-aspek ini diabaikan maka hasilnya nanti membuatkan pembaca atau generasi akan datang keliru dan kerana itulah fakta sejarah perlu diuji terlebih dahulu sebelum digunakan di dalam penulisan sejarah.

Merujuk kepada sebab seterusnya, proses menguji kesahihan ini penting bagi mengelakkan lahirnya golongan tertentu yang memberi bukti palsu untuk mempengaruhi penulisan ahli sejarah. Sekiranya terdapat sumber sejarah yang dikemukakan oleh mana-mana pengkaji, individu atau pihak-pihak tertentu, ahli sejarah haruslah terlebih dahulu mengenalpasti atau menentukan kesahihannya. Kenapa? Ini bertujuan untuk mengelakkan sumber yang diketengahkan itu telah ditokok tambah atau palsu bagi kepentingan pihak tertentu, sama ada untuk mendapatkan kedudukan, hak milik mahupun tujuan lain yang tidak mustahil boleh menjatuhkan kerajaan.[7] Misalnnya, peristiwa pernah berlaku di Eropah apabila dokumen ‘Donation of Constantine’ yang digunakan sebelum pertengahan kurun ke-15 untuk mengukuhkan satu teori pihak gereja yang menurut Paus agama Katolik mempunyai hak terhadap tanah di Eropah telah dibuktikan palsu oleh Lorenzo Valla yang telah menggambarkan bahawa tuntutan Paus juga adalah palsu atau tidak benar.[8] Daripada peristiwa tersebut menunjukkan pentingnya menguji terlebih dahulu sumber dan fakta yang diperolehi supaya tidak terjadi peristiwa yang sebaliknya.

Manakala sebab seterusnya ialah bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya penulisan dan penafsiran tidak berasas atau mengikut kemahuan sendiri oleh ahli sejarah. Untuk makluman sejarah bukanlah ilmu falsafah yang membenarkan sejarawan menerima kebenaran berdasarkan penghujahan mental yang logik sahaja tanpa perlu merujuk kepada bahan-bahan bukti yang sahih dan sejarah berbeza dengan ilmu kesusasteraan yang memberi kebebasan yang luas kepada akal, pemikiran, sentiment, emosi dan imaginasi seseorang dalam menyuarakan kebenaran. Sekiranya sejarawan tidak jujur dalam pengkajian yang dilakukannya, hasil karya sejarah itu bukan hasil karya sejarah tetapi boleh diklasifikasikan sebagai hasil karya falsafah, sastera dan politik akan tetapi, sejarawan juga bebas untuk membuat tafsirannya sendiri terhadap sesuatu peristiwa asalkan tafsirannya mempunyai sumber-sumber kajian yang mencukupi bagi mengukuhkan dan membenarkan penafsirannya.[9]

Selain itu, ia untuk mengelakkan penulisan yang bersifat berat sebelah iaitu penulisan yang ditulis bertentangan dengan kejadian atau peristiwa yang asal berlaku. Kebanyakkan hal ini terjadi disebabkan oleh sikap penulis itu sendiri yang terlalu ingin mengagungkan bangsa, agama dan negaranya sendiri.[10] Oleh sebab itu, pengadilan moral ditekankan oleh setiap ahli sejarawan supaya sikap ini tidak terjadi. Jika hal ini terjadi, penulisan yang ditulis secara berat sebelah akan memburukkan sebelah pihak walaupun pihak tersebut tidak bersalah. Hal ini dapat dilihat berdasarkan contoh iaitu peristiwa pengeboman Bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun oleh British, pihak British diagungkan oleh ahli sejarawan kerana mengebom kuasa yang berkuasa di Asia Tenggara demi keamanan dunia. Padahal kedua-pihak saling berebut kuasa di Asia Tenggara dan bagi melumpuhkan kuasa Jepun,British telah mengebom bandar tersebut tanpa mempedulikan nyawa-nyawa yang tidak berdosa.

Selain itu, memastikan sumber itu sahih juga penting dalam memastikan kesahihan fakta kerana terdapat penulisan atau sumber yang dihasilkan oleh sejarawan dahulu adalah bersifat mengagungkan sesetengah pihak sama ada raja dan sebaliknya. Walaupun seseorang sejarawan itu mempunyai kesedaran terhadap kepentingan sejarah itu ditulis, namun mereka terpaksa akur terhadap titah perintah raja. Hal ini dapat dilihat berdasarkan sikap Tun Seri Lanang iaitu sejarawan Melayu yang membaiki kandungan Sulalatus Salatin berdasarkan perintah sultan walaupun menerima tugas tersebut dengan perasaan yang berat. Oleh yang demikian sejarah yang dihasilkan mengandungi bermacam-macam unsure yang lebih bercorak saster sejarah.[11] Sekiranya kita merujuk sumber tersebut menggunakan berkemungkinan besar kita mendapat sumber palsu yang ditokok tambah oleh penulis berlandaskan kehendak pemerintah masa itu. Oleh sebab itu, sesuatu sumber itu perlu dikaji kesahihannya terlebih dahulu sebelum diguna pakai.

LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU DIAMBIL OLEH AHLI SEJARAH UNTUK MEMASTIKAN KESAHIHAN SUMBER

Kesahihan atau sahih? Perkara ini adalah penting bagi sejarawan kerana sebelum sumber sejarah itu diterima umum mereka hendaklah membuktikan kesahihanya. Memastikan kesahihan sesuatu sumber penting untuk mendapatkan sesuatu sumber yang asli, yulen dan fakta yang betul. Sesebuah penulisan sejarah oleh sejarawan hendaklah menggunakan sumber dan fakta serta melahirkan pandangan kritis. Sejarawan yang tidak mematuhi syarat itu dan mereka tidak mengkritik sumber itu dengan kritis, maka sejarawan tersebut belum lagi dikira sebagai sejarawan. Sumber yang telah diuji kebenaran atau kesahihannya barulah dikira sebaga sejarah berbeza dengan dengan penulisan sastera yang kreatif. Sekiranya sesuatu sumber itu diterima secara bulat-bulat maka masyarakat tidak akan dapat menerima hakikat sesuatu peristiwa sejarah yang telah berlaku itu sama ada benar ataupun tidak sebagaimana yang berlaku pada karya “Sejarah Melayu”.[12] Antara langkah yang perlu diambil oleh ahli sejarawan adalah menggunakan dua langkah iaitu iaitu kritikan luaran dan kritikan dalaman. Dengan merujuk kepada kritikan luaran ianya memerlukan kepakaran luar daripada bidang ahli sejarah seperti kepakaran ahli kimia dan ahli bahasa. Kritikan luaran yang diambil ialah dengan menjalankan ujian kimia, ujian bahasa, ujian tulisan tangan dan melalui bahan-bahan yang digunakan dalam sumber tersebut. Manakala dalam kritikan dalaman pula adalah perlu bagi sejarawan memastikan kandungan itu benar, rasional dan logik. Langkah kedua adalah penafsiran sumber berlandaskan lunas-lunas kerasionalan, memastikan latar belakang saksi kemudian harus bijak menangani masalah kewujudan bukti yang terang-terangan bercanggah dan langkah yang terakhir adalah memastikan situasi seseorang yang menyampaikan bukti.

KRITIKAN LUARAN

Melalui kritikan luaran yang hendak dilakukan ialah keatas sifat fizikal sumber tersebut. Langkah yang pertama adalah menjalankan ujian kimia bagi menentukan umur sebenar sesebuah dokumen atau sumber yang diperolehi. Ujian ini hendaklah dilakukan oleh pakar kimia kerana hal ini diluar bidang kuasa sejarawan dan sumber tersebut akan dihantarkan ke makmal kimia terlebih dahulu. Dalam proses ini, ujian yang dijalankan ialah memerhatikan keadaan kertas,dakwat dan cop yang digunakan mengikut peredaran zaman. Sebagai contoh ialah kertas yang digunakan tidak sama mengikut jenis yang berlain mengikut peredaran zaman. Pada pandangan mata kasar, kertas masa kini dengan masa dahulu sama saja tetapi dengan menjalankan ujian kimia kita dapat mengetahui umur kertas yang digunakan. Kaedah ini penting kerana seperti yang kita sedia maklum dakwat yang digunakan iaitu dakwat masa kini berlainan dengan masa lampau kerana proses dan bahan pembuatan yang berlainan.

Langkah yang perlu diambil oleh sejarawan lagi ialah dengan menjalankan ujian bahasa terhadap sumber tersebut. Ujian bahasa ini perlu dilakukan kerana setiap gaya bahasa sentiasa berubah dari sudut nahu, struktur ayat, ejaan, istilah, tanda baca dan sebagainya. Sebagai contohnya ialah G.J. Garraghan mengatakan bahawa gaya tulisan Latin oleh Livy yang bertarikh pada abab pertama tidaklah sama dengan gaya tulisan Latin Einhard pada abad yang ke-9. Keadaan ini juga sama dalam bahasa Melayu kerana pada waktu dahulu terdapat abjab rumi yang menpunyai tanda dan bunyi yang berbeza tetapi pada masa ini sudah tidak terdapat abjab yang bertanda. Selain itu juga kita dapat melihat karya “Sulalatus Salatin” melalui penggunaa ayat-ayat dalam bahasa Melayu yang digunakan oleh masyarakat dahulu berbeza dengan masa kini. Jadi, untuk menjalankan ujian ini, sejarawan memerlukan kerjasama ahli fisologi untuk menentukan atau menilaikan gaya dan bahasa daripada teks atau sumber yang digunakan.[13] Apabila kita menggunakan orang yang pakar dalam bidang ini, kesahihan atau keasliaan yang digunakan dalam bahasa dapat diketahui. Rasionalnya adalah supaya dapat ditentukan sesuatu sumber itu sama ada palsu ataupun tidak.

Selain daripada menguji bahasa yang digunakan, ahli sejarawan juga akan menjalankan ujian keatas tulisan tangan yang digunakan. Kebayakkan sumber atau teks yang ditulis dengan tulisan tangan kerana pada waktu tersebut tidak lagi mempunyai mesin taip atau komputer. Hal ini hanya akan dilakukan keatas sumber atau teks yang ditulis tangan bukannya yang ditaip atau dicetak. Garraghan mengatakan bahawa “tulisan tangan adalah mempunyai satu ciri yang tersendiri” kerana setiap tulisan tangan penulis sumber atau teks tersebut berbeza-beza dengan tulisan tangan orang lain. Pemalsuan tulisan tangan telah berlaku pada masa kini iaitu kes pemalsuan Buku Harian Hitler oleh seseorang yang mempunyai kepentingan yang tersendiri. Kes pemalsuan Buku Harian Hitler ini dapat dibongkarkan apabila ada ahli sejarah yang sangsi terhadap buku tersebut dan meminta ahli paleografi membandingkan tulisan tersebut. Apabila ujian dijalankan dengan membandingkan tulisan di dalam dokumen lain yang ditulis Hitler sendiri didapati tulisan di dalam buku tersebut berbeza dengan tulisan tersebut. Akhirnya kajian semula itu telah membongkar pemalsuan buku tersebut yang pada mulanya menggegarkan masyarakat dunia. Ujian ini juga memerlukan kepakaran dari luar bidang sejarah dan ini memerlukan kerjasama daripada ahli paleografi kerana mereka pakar dalam bidang ini.

Walau bagaimanapun, sejarawan juga perlu menguji bahan-bahan yang digunakan dalam mencatat sumber tersebut melalui orang-orang yang pakar dalam bidang ini. Ujian ini amat mudah dilakukan kerana sebarang pemalsuan akan dapat dikesan oleh para pengkaji jika bahan yang digunakan tidak wujud ketika dokumen atau sumber tersebut dihasilkan. Seperti yang kita sedia maklum, kertas wujud pada tahun 1150 T.M, jika terdapat sumber atau dokumen yang ditulis sebelum tahun 1150 T.M maka sumber atau dokumen tersebut adalah palsu. Ketika itu, kebanyakkan sumber atau dokumen ditulis hanya pada kulit kambing sebagai pengganti kepada kertas. Sebagai contoh pemalsuan yang dilakukan ialah pemalsuan Buku Harian Hitler terbongkar apabila benang-benang yang digunakan untuk menjilid buku tersebut hanya wujud selepas kematian Hitler. Ini menunjukkan buku tersebut diwujudkan selepas kematiannya menyebabkan sama sekali buku itu adalah bukan buku harian yang ditulis oleh Hitler sendiri.

KRITIKAN DALAMAN

Kritikan dalaman juga penting di dalam kajian sesuatu sumber sejarah untuk menentukan kebenarnnya dan kerasionalannya tentang sesuatu isi kandungan sesuatu sumber sejarah tersebut. Walaupun dikatakan sumber itu mungkin asli dari segi kritikan luaran, tetapi jika kandungannya tidak munasabah maka sumber itu tidak wajar dijadikan sumber rujukan sejarah.[14] Kritikan dalaman dilakukan oleh ahli sejarawan sendiri tanpa memerlukan kerjasama daripada ahli bidang lain tidak seperti kritikan luaran. Kritikan dalaman merangkumi banyak aspek seperti aspek kandungan itu benar atau tidak, kerasionalan, logik dan banyak lagi.

Ahli sejarah akan melakukan kritikan dalaman dengan membuat penafsiran sumber berlandaskan lunas-lunas kerasionalan. Setiap tindakan yang dikaji itu boleh ditafsir secara rasional dengan keterangan yang diberikan oleh si pelaku atau saksi. Hal ini bagi memastikan sesuatu sumber yang diterima itu bebas daripada unsur-unsur mitos, lagenda atau ghaib. Keadaan yang cuba dielakkan ialah wujudnya unsure sastera seperti teks pada masa dahulu banyak mengandungi mitos, lagenda dan ghaib bagi mengangkat martabat seseorang tokoh atau menyedapkan jalan cerita. Jadi, ahli sejarawan perlulah mengkaji setiap peristiwa itu dengan fikiran yang rasional supaya fakta yang diterima tidak palsu atau rekaan semata-mata. Jadi, ahli sejarawan berhak menolak sebarang sumber yang dipercayai menyelitkan unsur-unsur tersebut yang sekaligus melanggar peraturan lunas-lunas kerasionalan pemikiran. Sebagai contohnya ialah Thucydides ketika menulis karyanya tentang Perang Poloponessia telah menolak cerita-cerita yang berunsurkan mitos misalnya yang menyatakan wabak penyakit pes yang menyerang negeri Athens adalah berpunca daripada tindakan tuhan semata-mata.[15]

Di samping itu juga, sejarawan juga perlu memastikan terlebih dahulu tentang latar belakang saksi. Hal ini kerana Gottschalk sendiri menyatakan bahawa wujudnya “saksi-saksi yang berkepentingan” seperti pegawai-pegawai dari sesebuah jabatan kerajaan ataupun sesebuah parti politik atau badan agama dan sebagainya yang cuba mempengaruhi sejarawan.[16] Ahli sejarah perlu berhati-hati dengan keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tersebut kerana kecenderungan mereka untuk mempertahankan pihak yang diwakili mereka. Perkara sebegini perlu dperiksa dengan teliti oleh ahli sejarah sebelum mengambil sebarang fakta atau sumber dalam penulisan mereka supaya tidak berlaku kekeliruan kepada generai akan datang. Contoh yang paling jelas adalah rusuhan kaum di Bandar Salem pada tahun 1882 yang mempunyai saksi-saksi yang berkepentingan seperti yang dikatakan oleh Gottschalk. Saksi ini telah memberikan keterangan di mahkamah dan telah menyalahkan pihak lawan mereka kerana bertanggungjawab dalam kejadian yang berlaku, selepas tamatnya perbicaraan tersebut, didapati beberapa orang saksi telah didapati bersalah kerana memberi keterangan palsu dan akhirnya dipenjarakan. Jika keterangan palsu oleh saksi tersebut tidak bongkar dan jika ahli sejarah tidak memastikan terlebih dahulu latar belakang saksi maka penulisan sejarah adalah palsu dan memberi kesan negatif kepada pihak yang benar .

Selain daripada itu, ahli sejarah juga perlu bijak dalam menanggani masalah kewujudan bukti yang terang-terangan bercanggah dengan apa yang diketahui. Melalui situasi begini, maka ahli sejarah perlu bijak membuat keputusan tentang bukti yang harus diterima dan bukti mana yang harus ditolak. Selain itu, ahli sejarah bukan sahaja perlu memilih bukti yang diterima atau ditolak tetapi harus mencari jalan tengah diantara bukti yang bercanggah ataupun menggantungkan keputusannya. Walau bagaimanapun,terdapat ahli sejarah yang mempunyai pendirian yang berbeza tentang perkara ini iaitu Voltaire menyatakan ahli sejarah harus menggantungkan pengadilan sekiranya wujudnya bukti yang bercanggah manakala Marc Bloch menyatakan ahli sejarah perlu membuat keputusan bukti yang diterima atau ditolak berdasarkan ketetapan fakta yang sedia ada. Biasanya ahli sejarah akan menolak bukti yang bercanggah dengan fakta yang sedia ada tetapi jika terdapat bukti yang baru diketahui itu benar-benar sahih barulah ahli sejarah akan membuat keputusan untuk menerima bukti berkenaan.

Akan tetapi, ahli sejarah juga perlu melihat situasi seseorang saksi menyampaikan bukti iaitu penyediaan bukti-bukti kadang-kadang berlaku dalam keadaan yang agak luar biasa. Luar biasa bermaksud penyediaan bukti biasanya dalam jangka masa yang panjang, nama saksi tidak didedahkan oleh sebab-sebab tertentu, pengakuan orang dalam tahanan dan lain-lain lagi. Terdapat kesangsian tentang bukti-bukti yang disampaikan oleh saksi kerana sesuatu peristiwa yang ingin disamapaikan telah lama berlaku. Kesangsian tentang bukti ini juga berpunca daripada keupayaan saksi-saksi untuk memaparkan dengan jujur peristiwa-peristiwa yang sudah lama berlalu itu dan ahli sejarah perlulah bijak mengesan kejujuran dan kelayakan saksi itu. Kita boleh mengambil contoh daripada pengakuan yang dibuat oleh orang-orang dalam tahanan kerana boleh menimbulkan keraguan sama ada pengakuan tersebut diperolehi secara sukarela atau paksaan kerana tentu sukar bagi seseorang itu untuk mendedahkan kesalahan yang dilakukannya sendiri. Hal ini menunjukkan ahli sejarah tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang disampaikan oleh saksi-saksi sesuatu peristiwa tetapa ahli sejarah hendaklah menilai atau mengkaji terlebih dahulu keterangan tersebut supaya keterangan yang dibuat bukanlah palsu.

KESIMPULAN

Kesimpulannya di sini, ahli sejarah atau sejarawan adalah wajib menjalankan ujian atau mengalisis terlebih dahulu sumber diperlukan bagi membuat sesuatu penulisan sejarah. Dari isi yang saya nyatakan dalam tugasan ini, sumber-sumber sejarah yang diperolehi hendaklah diuji terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan atau keaslian sumbernya. Kenapa? tujuannya ialah supaya penulisan itu tidak mengandungi unsur palsu yang menyebabkan sejarawan pada masa hadapan mengulangi masalah yang sama. Kesannya sejarawan pada masa akan datang dianggap menulis sejarah kerana kewangan semata-mata bukannya kerana sifat sejarawan itu sendiri. Oleh yang demikia sejarawan hendaklah membuat kajian atau analisis terperinci yang merangkumi pelbagai aspek kritikan iaitu kritikan luaran dan dalaman. Akhir sekali dalam tugasan ini, sekali lagi saya menegaskan di sini bahawa sejarawa perlu melalui langkah-langkah tertentu untuk memastikan sesuatu sumber itu sahih. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan sumber itu sahih dan diterima umum.



[1] Muhamad Yusuf Ibrahim, Pengertian Sejarah hlm. 64-65.

[2] Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah hlm. 7-8.

[3] Abdul Rahman Haji Ismail hlm. 9.

[4] Ibid.

[5] R. Suntharalingam hlm. 72.

[6] Muhd Yusuf Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan hlm. 280

[7] Abdul Rahman Haji Ismail, Apakah Sejarah, hlm. 8-10.

[8] Muhammad Yusof, Pengertian Sejarah hlm. 96

[9] R. Suntharalingam, hlm. 23

[10] Muhamad Yusof Ibrahim, Pengertian Sejarah hlm. 106

[11] Ibid.

[12] E.H.Carr, What is History?, hlm. 56

[13] R. Suntharalingam, hlm 89.

[14] E.H.Carr, What is History?, hlm 64.

[15] Muhamad Yusof Ibrahim, Sejarawan dan Pensejarahan hlm.56

[16] Muhd Yusof Ibrahim , Sejarawan dan Pensejarahan hlm 287

4 comments:

ellynz said...

sebuah huraian tentang teori sejarah yang agak lengkap

Amalina Taib said...

satu penghuraian yang sangat bagus, jelas dan mudah difahami

anakjatiperak said...

TERIMA KASIH.HURAIAN ANDA INI MEMBANTU SAYA DALAM MENYIAPKAN TUGASAN SAYA. MOHON DIHALALKAN ILMU ANDA. ALLAH SAHAJALAH YANG DAPAT MEMBALAS JASA ANDA.

iPuNk said...

bisa bantu gak ba'....?
4 aturan umum yang harus di pegang sejarawan untuk menentukan dokumen mana yang lebih penting....?